ISLAM SATU CARA HIDUP, HALAL BUKAN HANYA PADA MAKANAN
 
   
   
     

 

Islam

Indahnya Islam

Agama Islam adalah agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan dengan agama inilah juga Allah menutup agama-agama sebelumnya. Allah telah menyempurnakan agama

ini bagi hamba-hamba-Nya dan Allah juga menyempurnakan nikmat atas mereka. Allah hanya meredhai Islam sebagai agama yang wajib kita anuti. Maka itu tidak ada satu agama pun yang diterima selain Islam.  

Allah SWT berfirman,

Muhammad itu bukanlah seorang ayah dari salah seorang lelaki di antara kalian, akan tetapi dia adalah utusan Allah dan penutup para nabi.” (surah Al Ahzab : 40)

Allah SWT juga berfirman,

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi agama kalian dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku atas kalian dan Aku pun telah redha Islam menjadi agama bagi kalian.” (surah Al Maaidah : 3)

Allah SWT  juga berfirman,

“Sesungguhnya agama yang benar disisi Allah hanyalah Islam.” (surah Ali Imran : 19)


 
Di dalam Islam terkandung segala pengajaran dan undang-undang terakhir yang disampaikan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul-Nya bagi menggantikan semua peraturan dan undang-undang yang disampaikan sebelum ini.

Agama Islam agama yang mencakupi akidah/keyakinan dan syariat/hukum. Islam itu sempurna dan baik sama ada dari sisi akidah mahupun syariat-syariat yang diajarnya.


Sebagaimana yang kita maklum bahawa Islam itu mempunyai tujuan yang sangat banyak. Di sini diterangkan sekadar yang difikirkan perlu sahaja. Antaranya ialah
  • Memperbaiki kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa.
  • Memperkukuhkan lagi keyakinan terhadap Pencipta alam ini.
  • Menghapuskan kepercayaan kepada yang lain dari Allah.
  • Memberi petunjuk bagaimana cara mengabdikan diri kepada Allah.
  • Mengatur cara ibadat.
  • Mengatur perhubungan kehidupan manusia sesama manusia.
  • Menegakkan keadilan hukum-hakam Allah.
  • Mengatur cara hidup kekeluargaan Islam.
  • Mempertinggikan akhlak manusia.

Dalam ruangan Islam ini, beberapa perkara akan dibicarakan secara menjurus seperti Tauhid, Feqah, Ibadah dan  Akhlak manakala E-Hadith, Suara Jumaat, Khutbah Online, Sirah dan Hidayah adalah ruangan sisipan yang merupakan pelengkap kepada keseluruhan ruangan ini.


Sedaya mungkin ruangan Islam ini berusaha memberi input-input tentang Islam dari semasa ke semasa bagi memaklumkan dan mengingatkan umat Islam sejagat mengenai perkara-perkara yang perlu dititikberatkan di dalam Islam. Semoga ruangan ini juga dapat membantu kita semua dalam mencari keberkatan di dalam hidup menerusi ilmu yang kita kongsi bersama. 
 

www.dunyahalal.com

`ISLAM SATU CARA HIDUP...'

`HALAL BUKAN HANYA PADA MAKANAN...'