Penulis masih teringat kata-kata seorang pemilik pusat perlindungan remaja dan wanita, “Biasanya, pusat kami meriah ketika menjelang bulan Julai, Ogos dan September.” Mengapa? Apakah sebab pusat yang menempatkan wanita dan gadis terlanjur itu hanya penuh pada bulan-bulan itu?
Jawabnya, setelah hampir sembilan bulan berlalu bermula dari ‘peristiwa’ malam tahun baru, akan lahirlah anak-anak tidak berbapa malahan tanpa akad dan nikahnya. Sudah terang lagi bersuluh, sambutan tahun baru secara melulu dan berlandaskan hiburan semata-mata hanya mengundang padah buat generasi muda. Saban tahun, keburukan yang sama berulang. Berapa banyak lagi remaja perlu menjadi korban akibat kedhaifan, bahana dari riuh rendah konsert dan hiburan tanpa sempadan. Jadi, untuk apa lagi diagungkan detik jam 12 malam dan mengira countdown sedangkan budaya dan agama bagai diinjak kemodenan.
Sudahlah begitu, konsert tahun baru biasanya berlarutan sehingga ke awal pagi. Jelas, waktu itu sangat tidak sesuai untuk kita keluar rumah apatah lagi bagi golongan remaja dan anak-anak yang masih tercari-cari identiti diri mahupun orang dewasa yang tidak tentu hala tuju hidupnya.
Pesan orang tua yang jarang sekali kita ingati, “Jika keluar rumah, cubalah untuk pulang sebelum matahari terbenam, kerana dalam kegelapan malam, segala musibah boleh terjadi.
Anehnya, ‘kota batu’ sering melupakan adat, mengenepikan firasat. Tahun demi tahun, sajian yang sama dihidang untuk tahun baru. Perhimpunan dan konsert terbuka umpama ‘manisan’ yang melalaikan. Dijamah enak, tapi mengundang bahaya pada kesihatan. Menjelang petang, jalan-jalan tertentu di bandar mula sibuk. Anak-anak muda nampak begitu teruja untuk menanti detik malam tiba. Seolah tidak sabar bergembira, apatah lagi kalau berteman dengan pasangan.
Konsert tahun baru menawarkan pelbagai bentuk keburukan seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa sempadan. Malahan kalau di ibu kota, anak muda merantau jauh dari ibu bapa. Janji yang digalas untuk menjaga nama baik keluarga tidak lagi laku. Di malam tahun baru, segalanya boleh berlaku.
Menyayat hati...dibuang bak sampah....
Melangkah ke tahun baru, sedarkah kita sambutannya masih digelumangi maksiat. Iman yang kian menipis di dada menjadi faktor bercambahnya gejala-gejala sosial yang semakin parah. Akan berulang lagi kisah gadis tertipu, kisah kekasih terpedaya, kisah pesta arak di pusat hiburan, kisah mat rempit beraja di jalan dan seribu satu lagi kisah yang tidak enak didengar telinga, tidak cantik dijamu mata. Lebih malang, kalau mereka yang sudah berusia juga terkinja-kinja mengira detik jam dua belas bersama deretan remaja. Lupakan saja niat membimbing anak muda kalau yang dewasa juga memberi contoh yang sama.
Memasuki tahun baru menandakan bertambahlah umur. Semakin kurang usia yang tertinggal dan semakin hampir ke dunia yang kekal. Usah menjadi manusia yang hanya berubah ketika air bah. Sementara bahang sambutan tahun baru Islam (Maal Hijrah) dua minggu yang lepas masih terasa, tidak salah tahun baru Masehi juga diraikan dengan cara yang lebih baik dan lebih bermanfaat. Paling tidak, pihak-pihak tertentu boleh mengadakan program sembahyang hajat atau ceramah agama. Meski pahit menyampai kebenaran, sekurang-kurangnya, umat Islam diberi pilihan menuju kebaikan.